U n Me

U n Me

Monday, October 3, 2011

U & ME - Episode 10

Pagi itu aku bersiap-siap untuk ke rumah abang Juan. Telefon ku mengalunkan lagu 2ne1 I’m The Best tanda ada panggilan masuk. Tertera nama Ummi di skrin telefon. Aku tersenyum dan menjawab panggilan itu.

“ Assalamualaikum. Ummi.” Ucap ku lembut.

“ Waalaikumusalam. Kenapa lama tak call? Bila nak balik rumah ni?” Aku menggigit bibir. Nak cari alas an apa ye? Ummi, bukan anak ummi ni tak nak balik. Tapi kalau anak ummi ni balik, pasti ummi akan plan macam-macam dengan member-member ummi nak jodohkan anak ummi yang satu ni. Nasib baik la Aisya Aqma tu masih muda lagi. Kalau tak, dengan adik aku sekali tu dia nak kahwinkan. Ummi, ummi.

“ Ummi, minggu ni tak boleh. Hujung bulan ni Maira balik ye.” Ujar ku selembut mungkin. Ummi aku ni garang. Tapi aku tahu, sebenarnya ummi sayangkan anak-anaknya. Sebab tu dia nak cari sendiri calon untuk anak-anaknya.

“ Hermm..iyelah tu. Kalau Maira tak balik hujung bulan ni, ummi akan datang situ jemput Maira balik.” Ujar ummi member amaran. Aku kecut perut. Mak ai..ummi ni pun. Bukannya aku tak balik 2 bulan. Sebulan je. Salah ummi juga sebab nak sangat kahwinkan Maira.

“ Baik ummi. Perintah di junjung.” Ujar ku diiringi gelak tawa.

“Tengok tu, ummi cakap betul-betul ni.” Jelas ummi protes. Aku ketawa.

“ Iye ummi. Maira tahu. Abah apa khabar? Aqma sihat?” Ujar ku cuba mengubah topik perbualan.

“ Kalau nak tahu, Maira kena balik tengok sendiri. Ummi tak kuasa jadi orang tengah. Kalau ummi tak call, punyelah susah nak dengar suara Maira ni. Susah betul nak call kami kat sini. Telefon tu buat pekasam ke? Kedekut dengan kredit?” Luah ummi. Mak ai, memang la ummi aku ni tengah marah. Kalau nak selamat. Cakap ‘ya’ saja.

“ Ya, ummi. Telefon tu, Maira buat cencaluk saje.” Gurau ku diiringi ketawa.

“ Maira ni, kalau kita cakap dengan dia, mesti ada saja helah dia nak kenakan kita. Dah, hujung bulan ni kena balik. Ingat tu?” Ujar ummi sudah member kata putusnya.

“ Ya, Ummi. Maira akan balik punye. Jangan risau ye. Maira sayang kat sume. Terutama ummi Maira yang anggun dan menawan ni. Muahhh!!” ujar ku lagi. Ummi sudah naik geram dengan gurauan aku.

“ Banyak maira punya anggun dan menawan. Kalau boleh call selalu. Ini tak, asyik kite saja yang call dia.” Tegur ummi. Aku hanya ketawa.

“ Yelah. Lepas ni, hari-hari Maira call. Ummi jangan marah pulak ye.” Ujar ku masih giat mengusik ummi. Ummi mendengus.

“ Dah, letih ummi cakap dengan kamu ni.” Tutur ummi jujur. Begitulah ummi aku. Gempak. Open-minded. Satu je aku tak suka. Suka jodohkan aku ni. Apa lah nasib.

“ Iye ke? Hahahaha..ummi, sayang ummi..sayang sangat-sangat.” Ucap ku lembut. Ummi akhirnya ketawa.

“ Dah. Ummi nak masak untuk abah lepas ni, jangan lupa pesan ummi. Jaga diri tu. Ingat!” Pesan ummi. Dah macam upin dan ipin je bunyinya. INGAT!!

“ Iye ummi. Assalamualaikum.” Ucap ku perlahan.

“ Waalaikumusalam.” Balas Ummi lalu talian dimatikan. Aku menarik nafas panjang. Amira memandang ku.

“ Ummi kau suruh balik lagi? Kali ni, entah siapa yang dia padankan untuk kau. Hebat la ummi kau. Prihatin sungguh.” Sampuk Amira.

“ Entah la Mira. Dah pukul 9 ni. Aku pergi dulu ye. Kau jangan tak lunch pulak ye.” Ujar ku dan sempat berpesan kepada Amira agar tidak lupa untuk lunch walaupun dia tidak ada.

“ Yelah. Aku dah ajak Amy tadi. Tahulah aku sayang, oi.” Jelas Amira dengan senyuman. Aku ketawa melihat muka Amira yang sekupang itu. Pandai jugak dia buat muka kasihan tu ye.

“ Baguslah. Bye. Assalamualaikum.” Ucap ku lalu menapak kearah pintu. Aku hanya mengenakan skirt labuh bercorak bunga-bunga dan baju t-shirt.

“ Waalaikumusalam. Jangan kau gaduh dengan Ryan pulak.” Balas Amira sambil menjeling kearah ku. Aku mencebik.

“ Aku tak akan mulakan kalau dia tak kacau aku dulu tau.” Jelas ku kepada Amira. Amira tersenyum.

“ Ermm..yelah tu.” Tutur Amira perlahan. Dia tahu benar perangai aku. Sudah beberapa hari aku mengelakkan diri dari Ryan. Aku juga dapat merasakan Ryan marah dengan ku. Mungkin kata-kata aku hari itu melampau sangat. Aku pun tak tahu ayat tu boleh keluar dengan sendirinya. Tapi sebab dia jugak aku marahkan.

“ Kau tunggu apa lagi. Sempat juga kau daydream ye.” Ujar Amira apabila aku melamun seketika. Aku tersentak seraya tersenyum dan terus melangkah meninggalkan Amira. Tiba di pintu masuk kampus, aku lihat Honda Accord putih abang Juan sudah tersadai di tepi jalan. Aku melangkah laju kearah kereta tersebut. Abang Juan segera keluar dan membuka pintu dibahagian sebelah pemandu untuk ku. Aku terus masuk dan pintu ditutup kembali oleh abang Juan. Ryan sudah ada di bahagian tempat duduk belakang.

“ Entah apa-apa.” Komen Ryan tiba-tiba. Sinis sekali di pendengaran ku. Tak ada rebut dan tak ada angin. Aku hanya tulikan telinga. Sebaik sahaja abang Juan masuk kedalam kereta, dia terus menghidupkan enjin kereta dan bergerak ke destinasinya. Setiba di rumah bangle 2 tingkat itu, kehadiran aku disambut mesra oleh papa dan mama abang Juan. Mama abang Juan mencium pipi ku bertubi-tubi.

“ Lama sungguh Baby tak jengok kami kat sini. Dah makin lawa mama tengok.” Ucap Puan Saadiah dengan senyuman. Aku tersingih macam kerang busuk. Namun sebaik sahaja bertentang mata dengan Ryan, senyuman ku seperti senget sebelah.

“ Mama ni pun, ajaklah Baby masuk dulu.” Tegur Tuan Naufal. Juan ketawa. Hanya Ryan sahaja yang membisu.

“ Mari masuk Baby, papa tu cemburu sebab mama tak layan dia.” Seloroh Puan Saadiah diiringi gelak tawa ku dan abang Juan. Aku berjalan seiringan dengan mama dan papa. Abang Juan dan Ryan sudah hilang entah kemana. Aku duduk disebelah mama dan papa duduk berhadapan dengan kami.

“ Mama tak tahu pulak yang Baby satu kampus dengan Ryan. Juan tak cakap pun.” Jelas Puan Saadiah perlahan. Aku tersenyum.

“ Baby pun tak tahu yang Ryan tu adik abang Juan.” Balas ku jujur. Puan Saadiah dan Tuan Naufal berpandangan.

“ Mama dan papa tak tahu la nak cakap apa lagi. Juan tu dah 4 tahun membawa diri ke London. Mama harap dia boleh lupakan semuanya. Ryan pun dah ok sekarang ni. Mama dan papa harap mereka boleh mulakan hidup baru semula.” Luah Puan Saadiah sayu. Aku mengusap tangan puan Saadiah.

“ Mama jangan risau. Baby pasti, semuanya akan kembali seperti biasa.” Ucap ku untuk menenangkan hati puan Saadiah.

“ Mama kamu tu Baby, risau sangat. Dah banyak kali papa pujuk dia.” Terang Tuan Naufal. Aku tersenyum. Mak Mah menghidangkan air the dan kuih karipap. Sempat juga aku menghulurkan salam kepadanya dan bertanya khabar. Setelah itu, mak Mah kembali ke dapur semula.

“ Malam ni, tidur sini saja. Bilik tamu tu mama dah kemaskan. Dah lama rumah ni sunyi. Tidur sini ya.” Pujuk Puan Saadiah lembut penuh harapan. Aku serba-salah untuk menolak. Tapi, aku datang tadi sehelai-sepinggang je.

“ Baby tak bawa baju tadi, mama.” Jelas ku jujur.

“ Itu Baby tak perlu risau. Nanti mama suruh Juan atau Ryan temankan Baby pergi beli barang keperluan.” Ujar puan Saadiah bersungguh-sungguh. Gawat ni. Kalau Ryan tahu, mampus aku kena maki dia lagi. Entah apa yang dia marahkan sangat. Sepatutnya aku yang marah sebab dia musuh azali aku. Ini terbalik pulak.

“ Menyusahkan mama je.” Ucap ku serba-salah. Puan Saadiah memeluk bahu ku. Senyuman terukir dibibirnya. Begitu juga dengan tuan Naufal.

“ Susahkan ape nye. Mama dan papa dah anggap Baby ni macam anak sendiri. Yelah, kami ada anak-anak bujang je. Nak tunggu menantu tu, lambat lagi kot. Lainlah kalau Baby dah berkenan dengan salah seorang anak mama dan papa ni.” Ujar puan Saadiah membuatkan aku terlopong. Apabila melihat reaksi ku, kedua-duanya ketawa.

“ Meriahnya. Bualkan apa tua?” Soal Juan lalu duduk di sebelah tuan Naufal. Ryan duduk dikerusi di sebelah Juan. Entah mengapa sesak nafas ku bila Ryan turut ada disitu.

“Ni ha…mama nak ajak Baby bermalam kat sini hari ni.”Jelas puan Saadiah. Abang Juan dan Ryan berpandangan.

“ Eh, Baby tak bawa bajukan?” Tutur abang Juan sambil memandang kearahku.

“ Mama nak suruh Ryan temankan Baby pergi beli barang, boleh?” Ujar puan Saadiah membuatkan jantung ku berdegup kencang. Aku memandang wajah abang Juan mengharapkan pertolongan. Ryan memandang kearahku sekilas sebelum menganggukkan kepala. Puan Saadiah dan tuan Naufal berpandangan dan saling berbalas senyuman. Abang Juan yang menyedari rancangan papa dan mamanya hanya menggelengkan kepala. Juan tidak mampu untuk bersuara. Dia hanya risau Ryan akan memarahi Umaira. Dia dapat merasakan sesuatu diantara Umaira dan Ryan. Seolah ada persengketaan. Tapi, bila dia bertanya pada Ryan, Ryan hanya memberitahu yang Umaira hanya kenalan biasa. Dia tahu, Ryan cuba menyembunyikan sesuatu.

“ Ryan dan Baby pergi sekarang je. Ni kunci kereta papa.” Ujar tuan Naufal lalu menghulurkan kunci kepada Ryan. AKu seperti kaku. Ryan menyembutnya dan terus berdiri. Puan Saadiah menarik tangan ku agar mengikutinya. Aku menoleh kearah abang Juan. Memberitahunya yang aku tidak mahu mengikut Ryan melalui bahasa mata. Abang Juan hanya menggelengkan kepala. Aku mengeluh perlahan. Tiba di muka pintu, papa menghulurkan kad kreditnya lalu dihulurkan kepada Ryan. Ryan memandang wajah itu menganggukkan kepala. Kad kredit itu bertukar tangan.

“ Hati-hati ye.” Ucap tuan Naufal lembut. Ryan tersenyum lagi. Argh!! Aku boleh jadi gila lepas ni. Aku yakin dia akan kenakan aku habis-habisan. Tengok gaya dia je aku tahu dia marah dan tidak puas hati. Ryan melangkah kearah kereta Honda City papanya. Aku membontoti dari belakang. Sejurus selepas Ryan masuk dan menghidupkan kereta, aku turut masuk kedalam kereta. Sempat juga aku memandang wajah abang Juan dengan penuh pengertian. Kereta dipandu perlahan keluar dari halaman rumah. Suasana sepi diantara kami. Tangan ku terasa gatal hendak memasang radio. Tapi aku tahan saja. Ni apa kes? Dah jadi bisu ke?

“ Jadi kau tahu pasal aku dan abang Juan?” Soal Ryan tiba-tiba. Aku tersentak dan mengatapkan bibir. Nak cakap ke tak?

“ Ermm..sikit-sikit.” Jawab ku perlahan. Kereta dipandu perlahan kearah taman di perumahan itu. Kereta diberhentikan. Enjin dimatikan. Aku menelan air liur yang terasa kesat. Jantung ku mula berdegup kencang.

“ Sikit-sikit? Sejauh mana sikit-sikit tu?” Soal Ryan mendatar. Aku menolah kearahnya, wajah itu keruh sekali. Aku menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. Seolah-olah mencari kekuatan.

“ Ok. Kau nak tahu apa sebenarnya. Aku tahu kau marah dengan aku. Marah sebab aku ‘Baby’ adik angkat abang kau, kan? Lepas tu, kau mesti fikir aku tahu kisah hidup kau dan abang Juan. Ya, aku tahu. From A to Z.” Jelas ku jujur. Ryan mencengkam stereng kereta. Di dalam fikiran aku, aku hanya perlu berterus-terang.

“ Hebat betul kau, ye.” Ucap Ryan sinis. Aku memandang keluar tingkap. Dengan berani aku membuka pintu kereta dan keluar. Aku membongkokkan kepala dan memandang Ryan yang masih duduk didalam kereta.

“ Kalau kau nak, kita cakap kat luar ni.” Ujar ku lalu menutup pintu kereta. Ryan akur lalu bersandar pada kereta di belakang aku.

“ Kau nak tahu apa dari aku? Untuk kali ini saja, aku akan cakap. Lepas ni, aku tak nak cakap apa-apa pasal hal ni.” Ujar ku tegas, Ryan berdiri di sebelah ku.

“ Kau pernah jumpa Alma?” Soal Ryan lembut. Aku menoleh padanya sekilas dan melontar pandangan tasik dihadapan ku.

“ Pernah sekali. Abang Juan kenalkan kepada aku. Masa itu, aku form 3. Aku tahu abang Juan sayangkan kak Alma sepenuh hati dia. Kak Alma pun macam tu.” Jelas ku perlahan. Aku tahu, kata-kata aku ini akan melukakan hati Ryan. Tapi, Ryan perlu tahu hakikat sebenarnya. Bukan abang Juan yang merampas cinta Ryan. Tapi Ryan yang merampas cinta abang Juan dan kak Alma.

“ Apa lagi yang kau tahu?” Soal Ryan dengan suara bergetar. Aku tahu Ryan menahan rasa luka. Seolah-olah Ryan yang berdiri disebelah aku ini, bukan Ryan yang aku kenali sejak mula lagi. Dia seperti orang lain bila mendapat tahu aku adalah ‘Baby’. Orang yang rapat dengan abang Juan yang mungkin tahu rahsia hati abang Juan sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment